Friday, July 29, 2011

Sejauh Mana Kita Bersabar?

Bismillahirrahmanirrahim...nak berkongsi sedikit untuk taskhirah kte di pagi jumaat nie...

Pernahkah anda mengalami stress yang melampau? Mungkin ada antara kita yang pernah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan seperti membunuh diri dan mencederakan diri sendiri ketika menghadapi tekanan yang melampau. Ada juga yang gemar menjerit terpekik terlolong ketika stressmenyelubungi diri. Saya sendiri contohnya, pernah menghabiskan beratus-ratus ringgit semata-mata kerana memesan semua menu yang terdapat di McDonald akibatstress yang melampau.

Syeikh al-'Arifi, seorang penulis buku Arab yang terkenal menceritakan kisah beliau tatkala beliau berkunjung ke Madinah al-Munawwarah untuk menziarahi sahabatnya Khalid. Dalam pertemuan itu, Khalid mengajak beliau untuk menziarahi sahabat mereka berdua, Dr. 'Abdullah. Dr. Abdullah merupakan seorang cendekiawan yang terkenal dengan akhlak yang mulia dan beliau sentiasa tersenyum.

Kisah Dr. 'Abdullah ini cukup menyayat hati. Beliau diuji dengan dugaan yang sangat kuat oleh Allah S.W.T.

Suatu hari, anak lelaki sulung beliau membawa semua ahli keluarganya ke satu kenduri perkahwinan tidak jauh dari rumah mereka. Hanya Dr. 'Abdullah yang tidak ikut serta ekoran tuntutan kerjaya beliau di universiti. Siapa sangka itulah kali terakhir beliau hidup bersama mereka. Dalam perjalanan pulang, kereta yang dipandu anak sulungnya kemalangan dan mengorbankan keseluruhan ahli keluarganya, kesemua 11 orang!

Walaupun Dr. 'Abdullah selalu bersabar apabila dihadapkan dengan pelbagai ujian, tetapi beliau tetap merupakan manusia biasa. Beliau tetap punya hati dan perasaan dan mata yang bisa menangis. Dia juga mempunyai jiwa yang kadangkala gembira dan kadangkala sedih.

Sungguhpun berita itu sangat merapuhkan hati, beliau tetap menyembahyangkan jenazah dan mengebumikan mereka dengan tangannya sendiri. Setelah selesai pengebumian, Dr. 'Abdullah pulang ke rumahnya yang pernah dihuni oleh anak-anak dan isteri beliau. Dengan hati yang masih terluka, beliau mula menjelajah ke segenap pelusuk rumah. Sunyi, sangat sunyi. Tidak seperti sebelumnya.

Beliau memandang mainan yang terbiar di atas lantai. Tiada lagi Khulud dan Sarah yang riang bermain dan kadang-kadang berebut permainan sampai bertelingkah kecil. Sungguh girang hati-hati suci itu!

Beliau menjenguk kamar tidur beliau dan isterinya. Matanya tertancap pada katil yang tidak dikemas kerana tiada lagi Ummu Salih, isterinya yang dicintai sepenuh hati yang setiap pagi akan mengemas katil mereka berdua tanpa bersungut. Basikal Yassir sepi sendirian tersandar pada dinding rumah. Tiada lagi pemuda mulia itu yang setiap petang akan menunggangnya ke pekan.

Beliau masuk ke kamar anak gadis sunti beliau yang sudah merancang untuk berkahwin dengan pemuda soleh pilihannya sendiri tidak lama lagi. Pakaian pernikahannya masih elok tersusun tidak terusik apatah lagi dipakai.

Masya-Allah. Kamu menghadap-Nya di saat-saat pernikahanmu semakin hampir!

Alangkah hebatnya seorang hamba Allah redha akan ketetapan Tuhannya. Sesiapa sahaja yang melihat beliau ketika mendapat ucapan takziah daripada orang ramai akan pelik. Kerana seolah-olah yang meninggal itu bukan sesiapa baginya. Malah beliau yang sebaliknya menasihatkan tetamu yang datang dengan tazkirah ringkas beliau.

Beliau sentiasa mengulang, "Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Segala yang Allah kurniakan, itu kepunyaan-Nya. Segalanya telah Allah tetapkan."

Bayangkan jika beliau tidak redha dan bersungut atas kehilangan mereka. Lama kelamaan, beliau akan mati kerana kesedihan yang melampau. Kerja tidak akan menjadi. Hidup tidak dapat diteruskan dengan sempurna.

Benar sahabatku! Jangan kamu cuba untuk bunuh diri dan janganlah setiap kali kamu berbual dengan orang ramai, kamu mula bersungut terhadap dugaan Allah sampaikan orang lain mulai jemu dengan kerenahmu.

Contohnya apabila seorang isteri kerap sekali mengadu kepada suaminya, "Bang, rumah ni dah lama sangat dah.. Bang, kereta buruk tu dah selalu sangat masuk bengkel.. Bang, baju ayang dah out of fashion.."

Sudah tentu lama-kelamaan si suami akan menjadi bosan dengan sikap isterinya itu dan tidak mustahil andainya si suami tersebut mula mencari-cari bakal isteri baru.

Adalah lebih elok kalau kita terima segalanya seadanya. Tidak guna mencemuh mengatakan itu begitu, ini begini, yang itu begitu, yang ini begini.

Ingatlah wahai diri dan sahabat, dugaan itu tidak merupa dalam bentuk kesusahan sahaja, malah kesenangan yang ada sekarang juga adalah dugaan. Dugaan yang diciptakan untuk menguji hamba-Nya yang bersyukur dan hamba-Nya yang kufur. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment