Sunday, July 31, 2011

Pelindung Vs Perosak

alt


Lelaki yang bijak sentiasa berusaha menjadi pelindung kepada wanita.
Lelaki yang bijak takkan meminta dan mengharapkan sesuatu yang belum menjadi haknya.
Lelaki yang bijak sentiasa menjaga pandangan mata dan hatinya.
Lelaki yang bijak menyedari bahawa seorang perempuan itu hanya mahu dirinya dihormati.
Lelaki yang bijak hanya mahukan wanita yang terbaik untuk menjadi suri hidupnya.

Bagaimana seorang lelaki dapat menjadi pelindung terbaik bagi wanita? Adakah dengan menghubungi wanita itu selalu, bertanyakan khabar, mengajaknya pergi makan supaya dia tahu si gadis makan mengikut masa, atau dengan mengucapkan kata-kata sayang?

Saya hendak berkongsi sebuah kisah benar berkenaan seorang sahabat yang sering risau akan keadaan dirinya yang masih single and available. Risau bila dikatakan tidak mengikuttrend. Risau bila huluran ikhlasnya tidak disambut oleh gadis yang dipuja. Sering merasakan dirinya LOSER kerana kononnya tak ada perempuan nak mahu padanya, sikit-sikit kena rejectsaja. Geli hatiku. Sampai begitu sekali fikirannya parah.

Persoalannya, adakah dengan SMS selalu, rajin bertanya khabar, dan rajin segala dapat menjamin dia menjadi pelindung atau hero paling hebat kepada wanita tersebut? Sekali kita mulakan langkah. pasti akan membawa kepada langkah seterusnya. One thing leads to another.Silap-silap lebih menjadi perosak daripada pelindung.

"Merosakkan?"

Yalah. Merosakkan dengan menambah saham dosa yang ditanggung oleh perempuan. Pelindungkah?

Merosakkan dengan setiap tindakannya yang akhirnya membuatkan perempuan tersebut gila bayang padanya hingga melupakan yang mana langit dan yang mana bumi.
Pelindungkah?

Merosakkan dengan membuatkan perempuan itu merasakan setiap perbuatan yang dilakukan untuk 'mengeratkan hubungan' itu supaya terasa 'enak dan indah' walaupun hakikatnya masing-masing menyedari diri terjerumus dalam kancah dosa.
Pelindungkah?

Merosakkan dengan membuatkan diri anda dan diri orang yang 'disayangi', buah hati pengarang jantung berenang-renang dalam lautan dosa tatkala anda sedar tidak mampu memberikan sesuatu yang halal kepadanya.
Pelindungkah?

Merosakkan akhirnya hanya kerana pada awalnya telah MEMULAKAN.
Pelindungkah?

Jadilah pelindung kepada kaum Hawa dengan tidak memandang kami.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menambahkan ilmu dengan amalmu,
supaya nanti pabila tiba masanya, dapat kalian menjadi pemimpin keluarga yang dihormati.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menjaga sebaik-baiknya akhlakmu.
Jadilah pelindung yang terbaik dengan mencontohi Rasulmu!

Mahu menjadi pelindung? Mintalah pertolongan kepada Allah semoga Dia sentiasa melindungi. Kita hanya manusia biasa yang tidak berdaya. Di saat anda masih belum mampu, cukuplah dengan meminta Dia yang melindungi dan memerhati. Kita manusia dengan pelbagai keterbatasan, takkan mampu untuk menjadi superhero paling sempurna kerana tiada yang sempurna melainkan-Nya. Jadilah lelaki pintar yang sentiasa bijak menilai.

Lelaki yang pintar sentiasa risau dirinya akan membawa fitnah kepada wanita,
Lelaki yang pintar tidak akan sekali-kali gentar apabila seorang wanita bertindak tegas terhadapnya kerana dia sedar itulah wanita sejati!
Yang mempunyai harga diri, yang takut kepada Ilahi.
Lelaki yang pintar takkan risau dan gusar dengan status 'single' kerana dia tahu dengan izin-Nya kelak dia akan berjabat dengan seorang wali yang bakal memberikan titik noktah kepada status tersebut!

Wahai ar-rijal, bangkitlah kalian. Anda dikurniakan kelebihan berbanding kami, gunakanlah kelebihan tersebut. Janganlah ambil sifat kami. Kami insan lemah, anda yang harus kuat!

Jangan mengharapkan sesuatu yang kami tidak mampu beri.
Jadilah kalian pelindung yang sejati,
agar kita senantiasa berada dalam reda Ilahi,
sampai tiba saatnya nanti...

Soallah diri kita, kenapa kita masih belum mampu melaksanakan suruhan-Nya sedangkan kita tahu apa yang benar?

Soallah diri kita, apa guna kita mengharap syurga seandainya perintah yang disuruh-Nya tidak mahu dilakukan malah dipandang sipi dan diabaikan?

Soallah diri kita, jika setiap muslim sudah dijanjikan syurga, yakinkah kita akan meninggalkan dunia ini dengan husnul khatimah? Yakinkah kita akan meninggalkan dunia sebagai muslim? Yakinkah kita syurga milik kita? Yakinkah?

Soallah diri kita, andaipun syurga dijanjikan kepada kita, sanggupkah kita mengharungi neraka sebelum menjejak ke syurga lantaran "hutang" kita terhadap Sang Pencipta yang belum langsai? Sanggupkah?

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:"Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh. Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu. Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?" (Hadis riwayat lmam Muslim)

Bagaimana mungkin doa kita untuk ke syurga dimakbulkan andainya Allah memalingkan pandangan-Nya daripada kita lantaran 'haram' yang kita 'halal'kan? Kita yang muda kena sentiasa beringat bahawa kita merupakan harapan agama. Banyak lagi cabaran yang harus dihadapi dalam hidup ini, banyak lagi tanggungjawab yang menanti. Tolaklah ketepi perkara-perkara remeh yang tidak membawa manfaat kepada diri dan 'kawan' melainkan KEROSAKAN sahaja.

Lelaki yang baik takkan berusaha mendekati,
meskipun dengan niat yang suci,
kerana dia sentiasa menyedari,
niat mungkin terpesong sekalipun begitu murni,
kerana dia mengakui,
makhluk bertanduk dua sentiasa "ready"!
Ingatlah, Dia jua yang Maha Memerhati.

Fikirkan dengan akal, renungkan dengan hati. Tolak tepi nafsu di hati yang mengaburi hati kita daripada menilai yang baik dan buruk, kerana hati tidak pernah menipu.

Wabishah bin Ma'bad berkata: Aku mendatangi Rasulullah, dan baginda bertanya "Engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?"

Aku menjawab, "Ya, benar."

Baginda bersabda, "Tanyakan pada hatimu sendiri! Kebaikan adalah sesuatu yang membuat jiwamu tenang dan hatimu tenteram, sedangkan dosa adalah sesuatu yang menimbulkan keraguan dalam jiwa dan rasa gundah dalam dada, meski telah berulang kali manusia memberi fatwa kepadamu."

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Tiada gunanya segala apa yang diperkatakan andainya hati kita tertutup daripada kebenaran. Bersihkanlah hati kita, sesungguhnya itulah anggota yang paling berharga. Disebabkan kerosakan hati itulah berlakunya kerosakan-kerosakan yang lain. Rajin-rajinkanlah membersihkan hati.

Bila Nak Kahwin?

alt


Pernah tak dalam hidup kalian , berfikir tentang 'Cinta'?Rasanya seperti mustahil jika ada antara kalian terutama mereka yang sedang berada dalam zaman keremajaan menjawab 'Tidak Pernah' berfikir tentang soal kahwin ini.

Lebih-lebih lagi kita sekarang ini berada di dalam dunia yang penuh dengan arus kemodenan dan selalu disogokkan dengan adegan-adegan yang mendorong kita untuk turut menceburkan diri dalam arus percintaan, kisah-kisah cinta yang dikatakan sejati dan kekal abadi ini bukan sahaja dipaparkan di dalam televisyen semata mata malah turut dihidangkan di dalam media cetak yang menerbitkan berpuluh-puluh karya ber 'genre' percintaan setiap bulan.

Lalu tidak hairanlah sekiranya anak-anak remaja masa kini lebih menyayangi kekasih masing-masing berbanding keluarga. Maka kedengaranlah berita-berita yang menyedihkan membabitkan anak gadis lari bersama kekasih ke Lombok, ke negeri lain dan sebagainya. Astagfirullahalazim..

Saya bukan sesiapa, saya seorang gadis biasa, yang cuba untuk berjalan di bumi Allah dalam langkah yang padu agar dapat menuju kasih-Nya yang abadi. Saya sama seperti kebanyakan anda semua yang masih belajar dan belajar nilai kehidupan dan cuba belajar untuk menjadi matang. Mungkin ramai antara saudara dan saudari yang sama macam saya, masih menunggu dan khuatir tentang cinta dan jodoh. Dengan siapa aku akan berkahwin? Ada ke lelaki yang benar-benar mencintai aku? Kalau tak jumpa jodoh lepas umur 30 tahun macam mana? Risaunya...

Mungkin itu adalah antara contoh soalan yang kerap berlegar-legar di dalam minda anda yang masih belum jelas tentang jodoh. Bagi yang sudah berumah tangga, alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T yang telah menemukan cinta dan kasih sayang kepada kalian. Semoga rumah tangga anda semua dilimpahi rahmat dan kasih-Nya. Selain itu mungkin ada juga antara gadis-gadis diluar sana yang kerap bertanya sendiri sebegini:

Gadis 'Pemalu' A: Macam mana ye? Ada ker orang yang akan suka kat aku? Ramai yang datang sebelum ni. Tapi aku dah tolak, sekarang aku dah takda siapapun.

Gadis Pasrah B: Ayah aku dah sibuk bertanya, dah ada calon ke belum? Haih.. macam mana aku nak jawab ni? Hm, terima sahajalah sesiapa pun.

Gadis Teringin C: 'Jealous'lah tengok orang yang ber couple. Balik ada orang hantar, buat'assignmen't pon sama-sama. Tapi aku?

Gadis Rela D: Aku tak kisahlah boyfriend yang macam mana pun. Yang penting ada orang sayang aku. Aku terima jer dia macam mana sekali pun.

Gadis Terlebih concern E: Aku tak nak makanlah. Nak diet.. mungkin sebab aku gemuklah tak ada orang yang suka kat aku.

Malah ada juga yang mungkin berfikiran:
"Aku tak nak kahwinlah.. mak cik aku okey jer tak kahwin." Nauzubillah...

Apa pendapat anda semua? Saya pasti ada antara kita pernah berfikiran begini. Malah mungkin ramai yang terfikir tentang hal ini walaupun masih di tahun satu atau tahun kedua di IPTA atau IPTS.

Malang nya kita jika menganggap jodoh dan cinta itu hanya urusan antara kita dan hati kita sahaja. Kita mudah terlupa dalam hati itu masih ada pemilik hati yang Maha Hebat ialah Allah SWT dan kita juga terlupa dalam cinta itu masih ada pemilik cinta yang Maha Agung iaitu Allah SWT.

Oleh itu sentiasalah berdoa kepada Allah tanpa jemu dan putus asa. Jika anda rasa sangat sukar untuk menemui jodoh yang anda inginkan mintalah kepada Allah kerana seorang hamba Allah tidak akan mudah berputus asa kecuali orang-orang yang tidak beriman. Berusaha dalam mencari jodoh tidak bermakna menulis surat-surat cinta palsu atau bergaul bebas antara lelaki dan perempuan . Seandainya sebelum ini kita pernah melakukan dosa dengan berdua-duaan dengan pasangan kita, pastikah kita, bahawa kita akan hidup sampai ke tua dan mampu bertaubat dan menginsafi segala dosa-dosa kita dengan pasangan yang tidak halal bagi kita?

Pembaca-pembaca sekelian, soal hati dan jodoh bukanlah benda yang senang. Bukan hak kita menentukan siapa jodoh kita sehingga rela mengambil jalan singkat menerima kehadiran mana-mana sahaja kaum adam atau kaum hawa tanpa menilai agama dan budi pekerti terlebih dahulu. Jangan biarkan sehingga nasi menjadi bubur. Lihatlah, berapa ramai yang berkahwin semata-mata kerana nafsu dan akhirnya tersungkur sebelum sampai kepintu syurga? Inginkah kita menjadi pasangan yang bercerai berai dan bergaduhan selepas beberapa lama berkahwin? Yakinlah, kebahagian dan ketenangan dalam kehidupan ialah apabila mengingati Allah dan mendapat keredhaannya.

Ketahuilah dan yakinlah bahawa perempuan yang baik akan bersama dengan lelaki yang juga baik begitu juga sebaliknya.

Terdapat empat perkara yang memberikan kebahagian kepada manusia berdasarkan hadis sahih riwayat Ibnu Hibban-:

1. Isteri yang solehah
2. Rumah yang selesa
3. Kenderaan yang baik
4. Jiran tetangga yang baik.

Jika dilihat, salah satu kebahagian manusia ialah Isteri yang solehah. Fikirkanlah betapa beruntungnya wanita-wanita diluar sana kerana telah dilahirkan sebagai wanita dan menjadi salah satu punca kebahagian manusia.

Akhir kata, selamat bermujahadah dalam kehidupan..insyaAllah jodoh pasti tiba di muka pintu dengan bantuan Allah. Jagalah dirimu laksana hadiah.. masih dilitupi pembalut akhlak dan iman, bukan laksana bunga yang layu menyembah bumi. Wallahualam.

Bila Cinta Berputik. Adakah Dia Jodohku?

Bismillahirrahmanirrahim...

Image Detail
"Tiada terfikir,
Terlintas Engkau akan tiba,

Membawa perangsang.

Tiada terfikir, Terlintas,Engkaukan membuka,

Sempadan perasaan.

Bunga kembang bertali hati, Bunga kembang di puncak akli"

Begitu indah cinta, membawa perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akan tetapi diluah melalui boneka jasad serta lirikan mata, lidah kelu diam seketika, jantung berdegup pantas tidak mencemaskan tetapi indah.

Remaja pada awalan usia mereka merasakan diri mereka ingin dicintai dan ingin mencintai. Akhirnya mencari cinta. Cinta pada usia muda yang sering digelar cinta monyet.

Tidak kurang pula ketika mereka melangkah ke menara gading. Mitos memaksa mereka mencari pasangan sebelum mendaki anak tangga pentas konvokesyen, kononnya, menara gading tempat mencari pasangan hidup yang akan hidup bersama mereka selepas graduasi.

Akan tetapi, alangkah sedihnya cinta yang berputik dan berbunga-bunga akhirnya tewas, melebur membentuk luka yang pedih dan sakit. Sesak nafasnya!

Lebih teruk kesannya jika apabila mereka sedar (meskipun tidak mengakui atau tidak menunjuk) bahawa perjalanan kisah cinta mereka telah pun melangkaui batasan agama, bersentuhan, berkucupan, berkhalwat dan terlanjur. Malu dan kesal serta sedih kerana diri telah menjadi tidak suci dan kotor, akan tetapi orang yang bersama-sama untuk berkongsi kotor dan jijik tidak lagi bersama. Risau pula jika perbuatan mereka dikhabarkan.

Image Detail

Yang nyata dan pasti, kamu tidak terlepas dari pandangan Allah dan Allah mengetahui perbuatan kemungkaran kamu. Taubatlah!

Jika kamu merasakan dia jodohmu, adakah dia mengajak kamu kepada kebaikan lebih banyak daripada membawa kamu kepada kemungkaran?

Oleh sebab itu, saya ingin mengajak para adik-adik untuk berfikir sejenak apakah niat kita bercinta dan di mana kita mahukan ia berakhir? Terutamanya adik-adik yang bakal bergelar graduan.

Ketika cinta kamu berputik pada si dia dan kamu sendiri mengakui di dalam hati kamu bahawa kamu ada rasa sayang pada dia, dan hati kamu punya rasa cinta padanya, renung seketika, di mana kamu ingin meletakkan cinta Allah yang jauh lebih hebat dari dia.

Jika cinta Allah lebih kamu sayang, letaklah cinta Allah sebagai batasan pergaulan kamu.

Apabila kisah cinta mula melorot dari satu episod ke satu episod yang lain. Renung kembali apa salahnya kamu pada Allah dan apa ajarannya telah kamu ikuti?

Pada ketika itu, fikirlah adakah pernikahan yang kamu cari atau hanya suka-suka? Jika suka-suka, tiada cinta yang berharga dari kamu dan untuk kamu. Jika pernikahan yang kamu cari, maka tidak usahlah buang masa lagi. Dekatilah pernikahan kerana kamu perlu mencari keredhaan Allah.

Bersama keredhaan Allah, langkah-langkah kamu menghampiri pernikahan sangat mudah jadinya. Kadang-kala di luar jangkaan kamu. Namun, jika dugaan yang datang, tabahkan hati tetapkan niat kamu untuk mencapai keimanan yang lebih baik melalui pernikahan.

Kerapkan menunaikan solat sunat tahajjud dan istiqarah. Mohonlah ditunjukan jalan dan memastikan dialah jodoh kamu. Jika tidak diilhamkan bahawa dia adalah jodoh kamu, terima qada Allah, teruskan kehidupan dan persahabatan, serta carilah pasangan yang bakal menjawab istiqarah sebagai jodoh kamu.

Jauhi dari hati yang makin berbunga dan berputik cinta walhal kita sebenarnya jauh dari jodoh. Itu hanya melukakan hati yang sangat lembut ini.

Cinta sesama manusia tentu tidak setanding dengan cinta dari Allah S.W.T, tetapi, kerana cintakan Allah, kita mencintai manusia juga.

Cinta berputik biar bertapis. Agar diberkati dan diredhai Allah S.W.T.